Sunday, 29 April 2012

Bismillahir Rohmaanir Rohim & Assalamualaikum buat sahabatku.
Bila tenggelam sang mentari, maka tabir malam pun menyelubungi. Malam yang menurut fitrah dan sunnatullahnya adalah untuk manusia merehatkan tubuh badan mereka yang sehari suntuk telah penat dan keletihan berkerja dan mencari rezeki.
Malam menjadi bertambah indah dengan rembulan tersenyum serta taburan jutaan bintang di awan awangan. Malam bertambah syahdu dengan zikir sang unggas dan mergastua bertasbih memuji ilahi. Sementara detik masa terus berlalu menggamit hadirnya siang. Sebagaimana siang dan malam silih berganti, maka begitu jugalah bersilih ganti waktu tidur dan waktu berjaga.
Sungguh, semua yang Allah cipta ini tidak ada yang sia-sia. Ada 1001 pengajaran dan hikmahnya. Pengajaran yang patut diambil para salik untuk perjalanan yang masih jauh.
Malam ini, di kamar tidur, aku merenung dalam-dalam diri yang alpa ini. Maha kerdil dan jahilnya diri aku ini, Ya Tuhan. Mengapalah aku sering berbangga-bangga dengan ‘title’ sebaik-baik ciptaan Allah, sedangkan amat ketara dan sungguh memalukan bila zikirku pada-Mu amat sedikit berbanding kemeriahan zikir sang unggas dan mergastua yang tidak jemu-jemu menyahut -nyahut dan memuji namaMu.
Dalam satu kuliah Maghrib, aku masih ingat seorang ustaz menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. mengumpamakan tidur itu sebagai “mati kecil”. Kerana itulah agaknya kenapa kita disunatkan berwuduk, berzikir, beristighfar, memaafkan kesalahan orang dan berwasiat sebelum tidur. Manalah tahu entah-entah tidur aku pada malam ini juga adalah tidur yang penghabisan.
Berapa banyak sudah berlaku? Berapa banyak sudah warga dunia berangkat semasa lena tidurnya. Pergi mengadap ilahi membawa diri yang lalai dari Allah, diri yang berlumuran dosa, dan dada yang penuh dendam kesumat dengan sesama Muslim.
Takala kelopak mata semakin berat dan jam di dinding menunjukkan pukul 1.30pagi, Fatihah dan doa kubacakan berturut-turut. “Dengan nama-Mu Ya Allah, aku mati dan aku hidup.”
Tiba-tiba.. Beep!! Beep!!..Beep!!..Beep!! Telefon genggamku memberi isyarat menerima mesaj. Hatiku sedikit berdebar. Gerangan siapakah  yang menghantarnya? Apakah  kali ini ia berita kematian? Ahh..ya Rabb, memang sungguh dan benar kali ini aku menerima berita kematian! ‘Mesej kematian’ dari seorang teman!!
matiSumber: Google
Tertera di skrin telefon genggamku wasiat Luqmanul Hakim kepada anaknya:-
Wahai anakku, kalau engkau meragui benarnya mati itu, maka janganlah kamu tidur. (Namun) Seperti mana engkau akan tertidur (juga akhirnya kerana terlalu mengantuk), maka demikian jugalah dengan kematian. Dan apabila engkau meragui pula benarnya hari kebangkitan, maka jaganlah (sekali-sekala) engkau cuba bangun dari tidurmu (namun nescaya engkau akan terjaga juga dari tidurmu). Maka demikianlah juga dengan hari kebangkitan. Kamu akan dibangkitkan selepas kematianmu.”
“Ya Allah, Ya Tuhanku, jika tidurku ini tidur yang penghabisan, maka ampunkanlah segala dosaku, maafkan segala kesalahanku dan redhalah pada diriku”.

No comments:

Post a Comment